6.05.2007

Wanita diseru sertai skim perlindungan insurans diri

Wanita Malaysia perlu memberi perhatian terhadap perlindungan insurans diri bagi memastikan tahap kesihatan dan sumber kewangan mereka pada masa depan adalah terjamin. :)

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Shahrizat Abdul Jalil agak terkilan kerana membeli insurans masih belum menjadi budaya golongan wanita di negara ini sungguhpun bilangan mereka yang bekerja semakin bertambah.

``Kebanyakan wanita sanggup berhabis wang untuk membeli barangan perhiasan diri tetapi tidak bersedia menghabiskannya untuk membeli insurans.

``Sudah sampai masanya, golongan wanita yang meliputi 11.4 juta rakyat negara ini menukar tabiat itu dengan memberi keutamaan kepada pengurusan kewangan terutama untuk hari tua,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan `Maaster WANITA', pelan insurans lengkap yang menawarkan tiga jenis perlindungan eksklusif untuk wanita iaitu Perlindungan Penyakit-Penyakit Wanita, Perlindungan Kehamilan dan Perlindungan Golden Wanita.

Produk terbaru Malaysian Assurance Alliance Berhad (MAA Assurance) itu meliputi wanita dalam lingkungan umur 16 hingga 69 tahun.

Antara yang menarik, Maaster WANITA menawarkan perlindungan untuk penyakit kanser payu dara yang sehingga kini dilaporkan terdapat 3,825 kes dengan sejumlah 1,707 kematian.

Shahrizat berharap dengan adanya skim seumpama itu yang dirancang oleh sektor swasta akan membantu golongan wanita merancang sumber kewangan masing-masing.

Petikan Akhbar Utusan Malaysia, 17/10/2006

No comments: